Welcome to ROCKERS WORLD.Join me in FACEBOOK.DONT FORGET COME AGAIN.THANKS

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

















“Awie Wings, ‘ana’ minta maaf”

Posted by Crew Monday, March 7, 2011 0 ulasan
DUGAAN lagi! Selepas reda isu perkahwinannya dengan penyanyi Waheeda pada Ogos lalu, penyanyi nasyid Akhil Hayy, 40, berhadapan dengan ujian kedua. Kali ini vokalis kumpulan Wings iaitu Awie, 42, menempelak Akhil gara-gara penceramah selebriti tersebut memberi kenyataan yang kurang disenanginya.
Dalam sebuah akhbar, Akhil memberi pandangan mengenai ajaran sesat yang kononnya disertai segelintir artis.
Akhil menasihati golongan berkenaan agar tidak terlibat dengan ajaran berkenaan selain mereka harus menjadi ikon yang perlu dicontohi. Kenyataan itu pula dilihat Awie seolah-oleh menggambarkan golongan artis tidak mengambil berat kehidupan dunia dan akhirat.
Malah Awie turut mengaitkan kisah rumah tangga Akhil yang tidak patut dijadikan contoh sebaliknya penceramah itu wajar “cermin diri” sebelum memberi sebarang kenyataan.
Petang Khamis lalu saya cuba mendapatkan Akhil yang sibuk membuat persiapan majlis resepsi persandingan dia dengan Waheeda yang diadakan di Dewan Guthrie, Bukit Jelutong, Shah Alam, semalam.
Pada mulanya Akhil yang juga pengacara program dakwah saluran Astro Oasis itu enggan menjawab persoalan berkenaan. Kata Akhil dia tak mahu mengeruhkan suasana dan bimbang kenyataannya itu akan disalah ertikan. Cuba meyakinkan dia mengenai tujuan artikel ini, kata Akhil dia tidak bermaksud untuk mengguris hati sesiapa.
“Sebagai manusia biasa, ana (saya) memohon maaf kepada individu yang tersinggung. Kepada Awie juga ana minta maaf,” kata Akhil yang saya biasa memanggilnya dengan gelaran ustaz.
Saya juga cuba mendapatkan Awie tetapi panggilan telefon tidak dijawab sementara SMS yang dikirimkan juga tidak berbalas. Mungkin sibuk dengan Cuci The Musical yang dipentaskan di Istana Budaya sehingga 8 November ini.
Ikuti penjelasan Akhil kepada saya, NIEZAM ABDULLAH adakah dia dan Awie bermusuh?
Bagaimana dengan persiapan persandingan yang akan diadakan?
Alhamdulillah, setakat ini semuanya berjalan lancar. Ana dan Wawa (Waheeda) buat secara sederhana saja. Faham-faham sajalah keadaan ekonomi pun tak mengizinkan. Tapi kami tetap mengundang artis-artis untuk buat persembahan. Majlis ini lebih kepada mengeratkan silaturahim sesama keluarga.
Sebelum saya tanya soalan lain, bagaimana kehidupan ustaz selepas kahwin? Boleh hadapi ujian dikutuk oleh orang ramai?
Bagi ana yang lepas itu biarkanlah lepas. Soal jodoh ni, kita buat apa yang terbaik. Apa orang nak kata lepas ni ana tak boleh komen apa-apa. Cuma yang ana boleh cakap, orang mukmin itu tak akan tenang selagi tak meniti titian siratulmustakim. Apa yang penting selepas kahwin, Wawa pula nak tumpukan sepenuh perhatian dalam rumah tangga dan anak-anak. Dia pun dah buat keputusan tinggalkan dunia seni.
Apa masalah ustaz dengan Awie? Panas nampaknya!
Ana tak ada masalah apa dengan dia. Cuma satu hari tu ada wartawan telefon ana dan minta pandangan mengenai ajaran sesat melibatkan artis. Ana bagi komen secara umum. Tak tuju pun kepada sesiapa. Tiba-tiba ana dapati Awie bagi amaran kepada ana supaya minta diam.
Ustaz terkejut?
Terkejut juga. Kawan-kawan ana pun ramai yang tanya kenapa Awie melenting sebab kenyataan ana tak sebut pun nama sesiapa. Ana tak pernah ada musuh dengan artis. Ana hormat kerja artis sebab ana pun duduk dalam bidang yang sama. Selama ni orang pun pernah kritik ana dan ana okey saja. Itulah... wartawan yang berkenaan pun satu. Lepas dia tanya ana, dia pergi pula tanya Awie. Mungkin wartawan itu memberikan gambaran yang tak betul. Sebab itulah Awie melenting.
Ustaz kata nak berdakwah. Cara ustaz itu mungkin orang tak boleh terima.
Hakikatnya sebagai pendakwah, kita kena sampaikan sesuatu benda yang kita anggap tak betul. Dan tujuan ana baik kerana dari segi hukum memang kita perlu buat macam tu iaitu menegur apa yang kita rasakan perlu. Kalau kita diam, maksiat akan jalan terus. Jadi tak salah ana bagi nasihat benda yang benar. Ana tahu tak semua orang boleh dengar teguran kita. Cuma ana bercakap atas dasar dakwah. Kalau ada orang terasa dan Awie pun terasa, ana minta maaf banyak-banyak.
Sebelum ni ustaz pernah ada masalah atau tidak dengan Awie ataupun Wings?
Ana tak ada masalah langsung dengan Awie. Sebelum ni pun lagu-lagu Wings ana pernah bawa (menyanyi). Kalau nak fikirkan buat apa ana sengaja nak timbulkan masalah dengan Wings? Ana dulu pun rock juga. Buat apa nak timbul masalah dengan rakan-rakan rock terutama Awie?
Ustaz merasakan pihak media yang bertanyakan hal berkenaan sengaja membuat provokasi kepada Awie, macam tu?
Awie marah ana sebab dia terasa. Sebenarnya ana jawab apa yang diminta (media). Mungkin olahan itu disalahertikan. Yalah... kadang-kadang kita bercakap lembut tapi orang lain faham lain pula. Itulah media. Ana dah pesan jangan babitkan ana dengan sesiapa. Tapi esoknya ana dan Awie keluar muka depan. Itu yang jadi masalah. Kalau ana jadi Awie pun ana melenting. Ana nasihatkan media pun kenalah berhati-hati juga.
Industri kita ni kecil saja ustaz. Pusing-pusing kita akan jumpa balik.
Memang pun. Ana tahu. Sebab itu awal-awal lagi ana minta maaf walaupun ana bukan bersalah. Kecoh-kecoh macam ni ana tak nak. Apa yang ana cakap benda berkaitan agama. Bukan yang karut-marut. Ana tahu di keliling ana ialah artis. Ana cakap pun bukan membuta tuli. Ana cakap atas dasar ana sayang pada sahabat. Ana tak berniat nak aibkan mana-mana pihak.
Nanti orang kata ustaz nak tarbiah artis pula.
Ana tak letakkan diri ana macam tu. Kalau nak tarbiah artis itu urusan pihak kementerian dengan Jabatan Agama Islam. Dia orang boleh buat kelas untuk para artis. Benda ni tak buat. Sebab tu kalau ada majlis ilmu, hanya ada segelintir saja artis. Kalau kita bercakap lebih, orang kata kita ulama besar pula. Ana pun tak mahu jadi jaguh. Ana tak perlukan semua tu. Ruang dakwah ana ada dalam masyarakat. Masjid ada, surau ada untuk ana.


Apa pandangan ustaz apabila usaha murni ustaz itu dipertikaikan dan hal mengenai rumah tangga ustaz sebelum ini cuba dikaitkan pula?
Soal perceraian ana tu soal peribadi. Alim ulama pun ada yang bercerai juga. Jadi ustaz pun hal peribadi juga. Ada orang kata ana ni baru setahun jagung, dah nak berdakwah. Ana berdakwah dah 15 tahun. Malah kalau nak ikutkan, ana dengan Awie juga pernah satu aliran tak lama dulu.
Apa yang ustaz harapkan mengenai hubungan ustaz dengan Awie tu?
Kami “satu kapal” (sesama rock). Ana baik dengan dia orang. Kami tahu kami di mana. Kita orang tak pernah bermusuh. Dalam rock, kami dalam satu genre muzik. Harap-harap antara kami tak ada yang terasa. Apa yang boleh ana katakan, manusia boleh mencari seribu musuh sehari tapi dia sukar mencari seorang teman sejati dalam seribu tahun. Sebagai Muslim dan sahabat, ana memohon maaf sekali lagi daripada Awie.

( satu kapal pun nak gaduh juga )

0 ulasan:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

۞ Followers ۞

۞ Country ۞


۞ Direktori ۞

۞ Download ۞